Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya Iran mengisytiharkan Selat Hormuz akan ditutup kepada laluan semua kapal. (Gambar AFP)
ISTANBUL: Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya Iran pada Sabtu mengumumkan Selat Hormuz “akan ditutup” ekoran tindakan Amerika Syarikat (AS) yang didakwa melanggar komitmen, selain pelanggaran gencatan senjata berterusan oleh Israel di selatan Lubnan, lapor Anadolu Ajansi memetik saluran penyiaran tempatan.
Dalam kenyataan yang disiarkan media rasmi Press TV, ibu pejabat itu memaklumkan keputusan berkenaan susulan tindakan AS yang “jelas memungkiri janji dan melanggar komitmennya” melalui kegagalan melaksanakan Fasal 1 memorandum persefahaman yang ditandatangani minggu lepas bagi menamatkan perang.
Kenyataan itu turut memetik “pelanggaran gencatan senjata secara berterusan oleh rejim Israel di selatan Lubnan” serta kegagalan pasukan pendudukan Israel berundur dari wilayah selatan Lubnan.
“Dengan ini diisytiharkan selat berkenaan akan ditutup kepada laluan semua kapal,” kata Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya Iran.


