Cheong Kah Pin berharap anaknya, Chun Yin, yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup di Singapura, dapat dibebaskan lebih awal.
JOHOR BAHRU: Setiap Rabu sekitar 3 pagi, Cheong Kah Pin, 70, akan menaiki motosikalnya dan memulakan perjalanan yang mungkin tidak lagi dapat dihitung jumlahnya.
Dia keluar sebelum subuh bagi mengelak kesesakan lalu lintas. Dari rumahnya di Taman Johor Jaya, dia menunggang motosikal menyeberangi Tambak Johor menuju ke Singapura.
Di seberang tambak, destinasi yang ditujunya ialah Penjara Changi, tempat anaknya, Cheong Chun Yin, 44, sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup.
Chun Yin, anak sulung daripada empat beradik ditahan di Singapura pada 2008 atas tuduhan mengedar dadah. Pada mulanya, dia dijatuhi hukuman mati, sebelum hukuman itu ditukar kepada penjara seumur hidup dan sebatan.
Selepas kira-kira sejam di jalan raya, Kah Pin biasanya tiba jauh lebih awal daripada waktu lawatan. Dia akan menunggu di sebuah stesen minyak sehingga penjara dibuka pada jam 8 pagi. Barulah dia dapat bertemu anaknya.
Kah Pin berusaha ke Singapura setiap Rabu untuk melawat anaknya.
“Bila saya tengok dia sihat, hati saya rasa lega,” kata Kah Pin kepada FMT Lifestyle.
Selama bertahun-tahun, Kah Pin banyak berkorban demi membantu Chun Yin. Selepas anaknya ditahan, dia menjual tiga buah rumah untuk membayar kos guaman. Ia satu pengorbanan besar bagi seorang penjual sayur yang menghabiskan puluhan tahun bekerja dan menabung.
“Saya cuma mahu dia baik-baik saja dan balik ke rumah. Tak apa kalau saya tak ada duit. Saya cuma mahu anak saya pulang.”
Kah Pin berkata, dia juga pernah membayar beberapa individu yang mendakwa boleh membantu, namun akhirnya tiada apa-apa hasil.
Bekas Adun DAP Johor Jaya, Liow Cai Tung, menyaksikan sendiri kasih sayang dan pengorbanan Kah Pin terhadap anaknya. Selama lebih sedekad, beliau membantu Kah Pin, termasuk ketika usaha menyelamatkan Chun Yin daripada hukuman mati.
Liow Cai Tung, bekas Adun DAP Johor Jaya, membantu Kah Pin sejak lebih sedekad lalu.
Sehingga hari ini, sebelum setiap perjalanan ke Singapura, Kah Pin akan singgah di pejabat Liow untuk mendapatkan bantuan menggunakan aplikasi MyICA Mobile, yang digunakan pelawat bagi mengemukakan maklumat ketibaan sebelum memasuki negara itu.
“Memang jelas, kebimbangan terbesarnya ialah anaknya. Dia mahu mencari lebih banyak wang supaya kalau Chun Yin dibebaskan nanti, dia ada cukup duit untuk menyokong apa saja yang anaknya mahu lakukan,” kata Liow, 40, kepada FMT Lifestyle.
“Kami berharap Kah Pin terus sihat supaya dia sempat melihat anaknya dibebaskan.”
Sepanjang perjalanan hidupnya, Kah Pin turut menerima kebaikan daripada orang yang tidak dikenali. Pekerja stesen minyak kadang-kala memberinya kopi manakala sebuah gereja di Singapura menyediakan makanan untuknya dan pernah membelikan motosikal.
Namun, tahun-tahun yang berlalu bukan mudah baginya. Walaupun menghidap tekanan darah tinggi dan masalah jantung, Kah Pin tetap memaksa diri untuk bekerja, menjual sayur di pasar pagi dan pasar malam.
Ketika kunjungan FMT Lifestyle, dia sedang sibuk bekerja di sebuah pasar malam walaupun cuaca mendung. Kah Pin berkata, dia terus bertahan kerana berharap Chun Yin suatu hari nanti diberi pembebasan awal dan mempunyai peluang untuk memulakan hidup semula.
Kenangan indah, harapan yang belum padam
Jauh sebelum lawatan ke penjara menjadi rutin hidup mereka, Kah Pin dan Chun Yin pernah menghabiskan hari-hari mereka bekerja bersama di pasar malam. Chun Yin menjual kaset, CD dan DVD, manakala Kah Pin berniaga sayur tidak jauh dari situ.
Apabila ditanya apa yang paling dirinduinya tentang anaknya, Kah Pin tidak bercakap tentang hari lahir atau sambutan istimewa. Sebaliknya, dia mengingati perkara-perkara biasa yang sangat bermakna.
Dia teringat saat pulang ke rumah selepas penat berniaga di pasar pagi, lalu disambut dengan makanan yang dimasak Chun Yin. Dia juga mengingati satu ketika kereta mereka rosak, Chun Yin berkeras mahu menolaknya sendiri.
Lebih daripada segalanya, Kah Pin mengingati anaknya sebagai seorang yang rajin dan tidak pernah keberatan membantu orang lain.
“Dia memang selalu sanggup tolong orang. Kalau kawan minta bantuan, dia akan setuju.”
Kah Pin terus bekerja keras dengan harapan dapat membantu anaknya memulakan hidup baharu sekiranya dibebaskan lebih awal.
Bagi Kah Pin, ada sekeping gambar yang sangat bermakna. Gambar itu diambil selepas dia membeli rumah pertamanya. Dalam gambar itu, dia mendukung Chun Yin yang masih kecil di atas bahunya, memandang anaknya dengan penuh bangga, sementara si kecil tersenyum ke arah kamera.
Ketika itu, mereka berdua tidak mungkin membayangkan bahawa suatu hari nanti, hidup mereka akan diukur dengan lawatan ke penjara dan tahun-tahun perpisahan.
Kah Pin turut memikul satu lagi beban. Apabila kesihatannya semakin merosot, dia bimbang akan tiba satu hari apabila dia tidak lagi mampu melakukan perjalanan untuk melawat Chun Yin.
Lebih daripada itu, dia takut tidak sempat hidup cukup lama untuk melihat anaknya dibebaskan.
Namun, sehingga hari itu tiba, Kah Pin akan terus menunggang motosikal sebelum subuh, menyeberangi Tambak Johor demi bertemu anaknya — seorang bapa yang setia menunggu dan tidak akan berhenti berharap anaknya pulang ke rumah.
Dia bukan beban, itu anak saya.

