Presiden Amanah, Mohamad Sabu, kata semua ahli wajib memenangkan calon PH. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Presiden Amanah Mohamad Sabu menyeru semua ahli dan jentera agar bekerjasama memenangkan calon dipilih Pakatan Harapan (PH) pada PRN Johor kelak.
Beliau mengingatkan bahawa ‘membiarkan kawan kita kalah’ hanya akan merugikan PH, meleburkan impian menerajui pentadbiran kerajaan negeri.
“Sama ada calon itu daripada Amanah, DAP, atau PKR, menjadi kewajipan buat kita semua untuk memenangkan mereka secara bersama,” katanya ketika berucap sempena pelancaran jentera Amanah Johor, malam tadi.
“Jangan ada di antara kita biar orang kita menang, biar kawan kita itu kalah. Kalau kita ada niat begitu, hilang satu dua kerusi, tak berpeluang kita ke Kota Iskandar pada 12 Julai nanti.”
PH akan mengumumkan agihan kerusi pada Isnin, menurut Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil.
Berlatarkan pertikaian berhubung DUN Puteri Wangsa, Faiz meluahkan keyakinan penyokong akan akur dengan agihan kerusi itu nanti.
Mohamad memberitahu hadirin bahawa Amanah mempunyai ramai calon layak bertanding.
“Perbezaan-perbezaan itu akan berlaku tapi kita tamatkan dengan pengumuman yang dibuat oleh Pengerusi PH Anwar Ibrahim pada 22 Jun nanti.
“Kita akan pergi sebagai satu pasukan PH,” katanya.
Sebelum ini, Amanah memaklumkan ia mahu mengambil semula kerusi Puteri Wangsa, yang menurutnya ‘dipinjamkan’ kepada Muda.
Namun, Naib Ketua PKR Johor Jimmy Puah berkata partinya yang akan mewakili PH di situ.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Johor pada 27 Jun, manakala hari pengundian pula pada 11 Julai selepas DUN dibubarkan pada 1 Jun.
DUN Johor mempunyai 56 kerusi dan sebelum pembubaran, Barisan Nasional (BN) menguasai 40 kerusi diikuti PH 12, Perikatan Nasional (PN) tiga, manakala Muda satu.


