Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan berkata PN menerima maklum balas rasmi daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia yang mengesahkan perubahan kepimpinan gabungan tersebut.
PETALING JAYA: Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan berkata sebarang aktiviti atau mesyuarat yang menggunakan nama gabungan itu tidak boleh dilaksanakan tanpa keizinan pengerusinya, Ahmad Samsuri Mokhtar.
Takiyuddin dalam satu kenyataan berkata PN menerima maklum balas rasmi daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) yang mengesahkan perubahan kepimpinan gabungan tersebut.
Katanya, JPMM mengambil maklum mengenai kelulusan Majlis Tertinggi (MT) terhadap peletakan jawatan pengerusi (Muhyiddin Yassin) dan pelantikan pengerusi baharu (Samsuri) pada mesyuarat luar biasa bertarikh 22 Feb lalu.
“JPPM juga mengesahkan menerima senarai kepimpinan serta pelantikan ahli jawatankuasa MT PN baharu, untuk direkodkan.
“Sehubungan itu, PN kekal komited dalam memastikan segala aktiviti, urusan pentadbiran dan pengurusan parti dilaksanakan mengikut perlembagaan parti serta mematuhi Akta 832 (Akta Pertubuhan 1966),” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, terdapat khabar angin bahawa Bersatu akan mengadakan mesyuarat MT PN malam di ibu pejabat parti itu.
Hari ini, Ketua Penerangan PN, Annuar Musa berkata MT PN akan bermesyuarat Isnin ini bagi memutuskan penggunaan logo serta pengagihan kerusi bagi PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Kemelut dalam PN semakin memuncak selepas PAS memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu.
Walaupun berdepan perpecahan itu, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, menegaskan partinya akan terus kekal dalam PN dan bertanding dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan menggunakan logo gabungan tersebut.
Beliau juga menegaskan bahawa tiada mana-mana parti boleh secara unilateral menyingkirkan Bersatu daripada PN kerana sebarang keputusan mesti dibuat secara konsensus selaras dengan perlembagaan gabungan itu.


