Ketua Polis Cheras, Mohd Rosdi Daud berkata pihak sekolah telah mengenakan hukuman amaran serta gantung sekolah ke atas suspek. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Seorang pelajar lelaki Tingkatan 1 di sebuah sekolah menengah di Cheras membuat laporan polis mendakwa dicekik rakan sekolahnya.
Ketua Polis Cheras, Mohd Rosdi Daud, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 16 April lalu.
Katanya, kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham mengenai tempat duduk di kantin sekolah.
“Suspek yang juga pelajar lelaki Tingkatan 1, didakwa bertindak mencekik leher mangsa dari arah belakang selain melakukan provokasi secara lisan.
“Mangsa telah dirujuk dan menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Kuala Lumpur pada 16 April lalu,” katanya dalam kenyataan.
Rosdi berkata, pihak sekolah juga mengadakan mesyuarat jawatankuasa tiga pihak yang melibatkan polis, sekolah dan penjaga pada 20 April lalu bagi membincangkan tindakan susulan.
“Pihak sekolah telah mengenakan hukuman amaran serta gantung sekolah ke atas suspek,” katanya.


