Betulkah hantu dan puaka sudah tidak relevan lagi pada era internet ini?Betulkah hantu dan puaka sudah tidak relevan lagi pada era internet ini?

Aku, Polong dan Khadam

For feedback or concerns regarding this content, please contact us at crypto.news@mexc.com

Minggu lalu saya berkesempatan menonton filem Polong dan filem Khadam. Dua filem berkisar tentang dunia mistik Melayu. Bagaimanapun, ini bukan ulasan dua filem tersebut. Ia sekadar mencetuskan satu renungan dalam fikiran saya. Memang dalam budaya kita terdapat kisah tentang makhluk halus seperti polong, pelesit, toyol, hantu raya dan saka ini. Masa saya kanak-kanak dahulu memang ada cakap-cakap orang sekeliling tentang seseorang yang dikatakan ada ‘membela’.

“Wak Kiman ada bela hantu raya. Senja-senja kita boleh dengar dia bergurau dengan hantu belaan dia.”

“Mek ada pakai hantu. Malam-malam aku nampak dia letak sepinggan nasi atas atap dapur belakang gerai dia. Dia ‘menjamu’ agaknya.”

Dan bermacam-macam kisah lagi berkait dengan mereka terutama cerita kesukaran Wak Kiman ketika hendak mati seperti ditunjukkan dalam filem Khadam, harus membuka atap dan lantai rumah – satu petua untuk memudahkan si pembela hantu mati setelah lama tersiksa bergelut di pintu maut. Kecoh juga cerita di tempat kami bagaimana bomoh datang ‘membuang’ hantu tersebut dengan mengurungnya ke dalam botol sebelum dihanyutkan ke sungai. Tetapi ini semuanya cerita atas cerita. Sejauh mana kebenarannya, wallahuaklam.

Namun, ada juga beberapa pengalaman pelik yang pernah saya lalui sendiri. Sekitar tahun lepas misalnya, kawasan tempat tinggal saya digemparkan dengan kehilangan seorang warga emas. Menurut anaknya, bapanya keluar seawal pagi pergi menjaring ikan di anak sungai berhampiran kawasan perumahan kami. Kemudian, sehingga lewat petang dia tidak pulang. Penduduk kampung bersama anggota penyelamat mencari sampai larut malam. Ada yang meredah belukar dengan berjalan kaki. Ada yang menyusuri sungai menggunakan bot. Lampu suluh dan lampu limpah digunakan untuk mengesan jejak pak cik itu tetapi tidak berjaya ditemui.

Sehinggalah keesokan paginya, pak cik itu ditemui dalam keadaan selamat. Yang menghairankan, tempat beliau ditemui bukanlah jauh dari lokasi motosikalnya ditinggalkan. Malah kedudukannya boleh dilihat dengan jelas dari jalan utama. Apabila ditanya, beliau mendakwa tidak berganjak dari tempat itu sejak petang semalam.

Itu yang pelik. Mengapa sepanjang petang, malam sehingga ke subuh, puluhan orang yang mencari tidak nampak kelibatnya? Maka timbullah pelbagai cerita. Macam biasa, tak lain tak bukan ini semua mesti kes disorok makhluk halus.

Saya hanya mampu mendengar tanpa mengomen apa-apa. Lalu saya teringat pula satu pengalaman ketika masih remaja. Saya pernah menyaksikan sendiri dua orang rakan sebaya bangun daripada tidur pada tengah malam. Seorang tiba-tiba membuka langkah silat dengan mata tertutup. Tidak lama kemudian, seorang lagi turut bangun dan melakukan perkara yang sama. Mereka masing-masing mempamerkan buah silat tetapi tidak pula bertarung. Beberapa minit kemudian kedua-duanya berhenti. Mereka kembali berbaring dan menyambung tidur. Penyudahnya, saya pula yang menggelabah tak dapat tidur sampai siang.

Keesokan paginya saya bertanya kepada mereka akan hal malam tadi. Kedua-duanya terpinga-pinga. Mereka langsung tidak mengingati apa yang terjadi malah langsung tak percaya dengan cerita saya. Apa sebenarnya yang berlaku?

Pengalaman beginilah yang membuatkan saya cuba memahami mistik alam Melayu. Kemudiannya saya dapati ia ada kaitannya dengan cara orang kita dahulu melihat alam di sekeliling mereka. Kita harus ingat bahawa orang Melayu zaman dahulu hidup sangat rapat dengan alam. Hutan bukan tempat berkelah atau berkhemah seperti sekarang. Hutan ialah tempat mencari rotan, damar, gaharu dan hasil buruan. Sungai pula menjadi jalan perhubungan. Mereka cukup mahir di kawasan ini. Tetapi walau mahir mana sekalipun kadangkala boleh tersesat dan hilang punca juga.

Barangkali, mereka dahulu tidak mempunyai bahasa saintifik seperti yang kita miliki sekarang. Lalu mereka menggunakan bahasa budaya. Maka lahirlah pelbagai pantang larang. Jangan menyahut suara yang memanggil di dalam hutan. Jangan cakap besar, jangan gembira sangat dan jangan sesuka hati merosakkan tumbuh-tumbuhan, malah jangan bunuh sembarangan binatang hutan kerana dikhuatiri nanti akan berlaku perkara yang tak diingini.

Apabila difikirkan semula, pantang larang itu sebenarnya mengajar adab kita sebagai manusia supaya menghormati alam dan makhluk-makhluk yang menghuni di dalamnya. Sama ada kita mempercayainya atau tidak, hormat-menghormati adalah amalan yang baik untuk diamalkan tak kira di mana kita berada.

Tapi, itu cerita lain. Ini pula cerita tentang makhluk halus yang dipelihara. Polong, toyol, pelesit, hantu raya dan sebagainya ini dikatakan dipelihara oleh manusia untuk tujuan tertentu. Tuannya mahu cepat kaya, mahu berkuasa, mahu membalas dendam, mahu dibantu melakukan bermacam kerja dan berbagai-bagai alasan lagi. Makhluk-makhluk halus ini dijamu makanan dan kemudian dijadikan khadam atau budak suruhan.

Siapa yang betul-betul ada pengalaman sendiri di mana ahli keluarga mereka memelihara hantu raya atau toyol? Atau ini semua hanyalah cerita atas cerita yang selalu kita dengar dari kawan-kawan dengan introduksi yang ‘cliche’: “kawan aku ceritalah, kan…” dan bukannya daripada pengalaman sendiri.

Apa sekalipun, jika ia wujud maka bagi saya budaya ‘membela’ hantu ini hanya menelanjangkan sisi manusia yang tamak, rakus dan ingin mendapatkan sesuatu dengan cara jalan pintas. Hakikatnya, yang dipelihara bukan polong tetapi dengki. Yang dipuja bukan puaka tetapi kuasa. Atas rasa itulah, manusia sanggup berbuat apa sahaja termasuklah membunuh dan membuat jenayah. Lebih parah, sanggup mengabdikan diri menjerumuskan diri ke alam ilmu hitam. Dalam filem Polong digambarkan ramai sahaja orang kenamaan datang untuk mendapatkan khidmat bomoh yang ada membela hantu. Dalam filem Khadam diperlihatkan bagaimana hantu belaan akhirnya ‘lawan tauke’.

“Itu dulu. Zaman sekarang orang dah tak bela hantu lagi,” kata kawan saya. “Orang kita takkan maju selagi takut dengan hantu.”

Betulkah hantu dan puaka sudah tidak relevan lagi pada era internet ini? Bukankah zaman ini kehidupan lebih mencabar dan persaingan untuk mencari kedudukan semakin sengit? Ya, saya yakin selagi ada manusia selagi itulah jin dan syaitan bersedia menjadi pendamping.

“Aku pun ada khadam.” kata saya kepada kawan yang berhujah tadi. Saya mengaku, kadangkala saya sendiri menggunakan khadam untuk memudahkan kerja saya. Memang terpaksa guna untuk nak cepat. Bezanya khadam saya tidak tinggal di dalam botol, buyung atau apa-apa bejana.

Ia tinggal di dalam telefon dan komputer. Ia membantu saya mencari maklumat, menterjemah bahasa, menyusun idea dan memudahkan pelbagai kerja harian. Khadam saya tidak meminta darah. Ia tidak meminta pemujaan. Ia cuma meminta bil internet dan langganan dibayar setiap bulan.

“Inilah khadam zaman sekarang,” kata saya. Kawan saya bengang tetapi ketawa kemudiannya.

Mungkin hari ini memang masih ada orang membela puaka dan saka untuk dijadikan khadam. Itu mereka. Buruk-baiknya mereka tanggunglah sendiri. Kita pun boleh ada khadam. Teknologi seperti AI dan ChatGPT yang dihebohkan hari ini juga boleh kita bela dan ikut perintah kita. Cuma, memang ada persamaan antara guna polong dan AI iaitu jika kita gagal mengimbangi peranan kita, lambat-laun kita pula akan menjadi hamba kepada teknologi yang kita sendiri cipta. Kita pun semakin lama akan hilang identiti dan kredibiliti kerana segala apa yang kita buat, kita terlalu bergantung harap kepadanya. Niayalah kita jika begitu, alamat nasib kita pun tak jauhlah dengan nasib Wak Kiman yang saya ceritakan awal tadi nampaknya!

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Market Opportunity
ERA Logo
ERA Price(ERA)
$0.08014
$0.08014$0.08014
-0.89%
USD
ERA (ERA) Live Price Chart

World Cup Combo: Aim for 200x

World Cup Combo: Aim for 200xWorld Cup Combo: Aim for 200x

Combine up to 20 World Cup matches in one order

Disclaimer: The articles reposted on this site are sourced from public platforms and are provided for informational purposes only. They do not necessarily reflect the views of MEXC. All rights remain with the original authors. If you believe any content infringes on third-party rights, please contact crypto.news@mexc.com for removal. MEXC makes no guarantees regarding the accuracy, completeness, or timeliness of the content and is not responsible for any actions taken based on the information provided. The content does not constitute financial, legal, or other professional advice, nor should it be considered a recommendation or endorsement by MEXC.