Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azleen Ambros beritahu Puad Zarkashi kesetiaan dan kepatuhan kepada parti bukan semasa ada jawatan atau mengikut keadaan semasa.
PETALING JAYA: Pemuda Umno Johor menasihatkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Puad Zarkashi menjadi orang parti yang patuh dan setia selepas menyatakan ingin membuat pengumuman penting pada 27 Jun ini.
Ketuanya, Noor Azleen Ambros, berkata kesetiaan dan kepatuhan kepada parti bukan semasa ada jawatan sahaja atau mengikut keadaan semasa.
“Ketika kita tidak lagi ada apa-apa jawatan (dalam Umno Johor), balaslah kesetiaan dan kepatuhan yang parti pernah bagi kepada kita dengan sebaiknya.
“Bukan dengan ugutan. Bukan dengan hasutan,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Puad berkata ingin membuat pengumuman penting pada hari penamaan calon PRN Johor 27 Jun ini selepas risau dengan perkembangan terkini Umno negeri.
Adun Rengit yang sebelum ini mengumumkan tidak mempertahankan kerusi itu berkata, beliau akan melakukan ‘keberanian politik’ untuk meneruskan perjuangan.
Puad merasakan ada yang tidak kena dengan Umno Johor selepas melihat senarai calon Barisan Nasional (BN) akan bertanding pada pilihan raya 11 Julai ini.
Dalam pada itu, Azleen berkata Puad seharusnya menunjukkan contoh baik kepada generasi muda dalam Umno berhubung makna sebenar setia dan patuh kepada parti.
“Sesungguhnya parti ini milik semua,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Umno Johor, Ahmad Maslan, minta ‘abaikan’ kenyataan dibuat Puad.
“Abaikan,” katanya ringkas ketika diminta mengulas.
BN dijadual mengumumkan senarai calon PRN Johor hari ini.

