Puad Zarkashi berkata beliau akan membuat pengumuman penting itu kerana risau dengan perkembangan terkini Umno Johor.
PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi berkata beliau akan membuat satu pengumuman penting pada hari penamaan calon PRN Johor 27 Jun ini selepas risau dengan perkembangan terkini Umno Johor.
Puad berkata beliau akan melakukan ‘keberanian politik’ untuk meneruskan perjuangan.
Katanya, beliau merasakan ada yang tidak kena dengan Umno Johor selepas melihat senarai calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding dalam pilihan raya itu.
BN dijadualkan mengumumkan senarai calon yang akan bertanding dalam PRN Johor hari ini.
“Justeru saya akan membuat pengumuman penting pada 27 Jun ini. Perkembangan terkini Umno Johor merisaukan.
“Saya tidak akan menoleh belakang walaupun saya hanya insan kerdil,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Puad berkata beliau pada 17 Jun lalu sudah mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan kerusi DUN Rengit yang disandangnya kerana faktor usia.
“Saya menegaskan, orang muda terlatih dan berpendidikan semestinya diberi peluang. Tetapi tidak diindahkan.
“Saya melakukan ‘keberanian politik’ untuk meneruskan perjuangan,” katanya.
BN sebelum ini mengumumkan untuk bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN Johor yang ditetapkan pada 11 Julai ini.
Pengerusinya Zahid Hamidi berkata BN akan terus mengekalkan konsep WALI dalam pemilihan calon, iaitu winnable (boleh menang), acceptable (diterima) dan likeable (disukai), selain menampilkan gabungan muka lama dan baharu.
Selain itu, beliau berkata BN menampilkan gabungan antara pemegang jawatan sedia ada dengan muka baharu bagi mewarnai bakat kepimpinan di Johor.

