Kriteria utama dicari pengundi Melayu menjelang PRU16 adalah kredibiliti, kebolehpercayaan serta sifat rendah diri, kata Shahril Hamdan.
KUALA LUMPUR: Pengundi Melayu dikatakan sudah beralih arah kepada ahli politik yang tenang dan sederhana, sekali gus memberi kelebihan kepada Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, jika beliau dinamakan sebagai calon perdana menteri.
Bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan, berkata landskap politik kini menyaksikan masyarakat mula bosan dengan retorik politik yang agresif atau ‘sembang deras’ ahli politik.
Menurutnya, kriteria utama dicari oleh pengundi Melayu menjelang PRU16 adalah kredibiliti, kebolehpercayaan serta sifat rendah diri.
“Jika pembangkang meletakkan Samsuri sebagai calon perdana menteri, beliau akan memanfaatkan sentimen ini kerana beliau mewakili segala-galanya yang bertentangan dengan apa yang memuakkan pengundi sekarang,” katanya dalam satu forum, malam tadi.
Sementara itu, Shahril mempersoalkan keengganan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengubah ton komunikasi yang sarat dengan retorik berapi-api.
“Mungkin beliau lebih tahu keadaan di padang selaku perdana menteri, namun apabila terlalu lama berkuasa, ada kalanya pemimpin boleh terlepas pandang isyarat ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Shahril meramalkan PRU16 bakal menjadi pilihan raya pertama yang tidak lagi bersandarkan kepada elemen ‘inspirasi’ atau janji perubahan luar biasa.
Beliau berpendapat, era pemimpin melaungkan retorik ‘pilih saya dan saya akan selamatkan anda’ sudah berakhir, termasuk imej reformis yang dahulunya dibawa oleh Anwar.
“Pada PRU 2022, Anwar boleh membawa jenama (perubahan). Tetapi sekarang beliau mahupun parti-parti lain tidak lagi boleh melakonkan watak seumpama itu secara kredibel,” katanya.
Beliau menjangkakan Pakatan Harapan akan meminta mandat untuk penggal kedua atas alasan bahawa tidak adil untuk menghukum mereka dalam tempoh singkat.
Barisan Nasional pula akan kembali menjual imej ‘parti kestabilan’ yang lebih cekap menguruskan dasar serta hubungan kaum.
“Bagi Perikatan Nasional khususnya PAS, tema kepimpinan Melayu-Islam yang kuat dijangka kekal menjadi taruhan utama untuk menarik sokongan pengundi di kawasan majoriti,” katanya.


