Pesawat pengebom B-52 Stratofortress milik AS terhempas di California. (Gambar EPA Images)
WASHINGTON: Sebuah pesawat pengebom B-52 Stratofortress milik Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) terhempas semasa penerbangan ujian rutin di California dengan pegawai tentera memaklumkan impak nahas itu tidak memberi peluang untuk mangsa terselamat, lapor Anadolu Ajansi.
“Petunjuk awal menunjukkan tidak mungkin ada mangsa yang terselamat dalam nahas itu,” menurut Pangkalan Tentera Udara Edwards menerusi X.
Pangkalan itu mengesahkan lapan individu berada di dalam pesawat pengebom strategik berkenaan ketika ia terhempas sejurus berlepas pada 11.20 pagi waktu tempatan (1820 GMT) bagi melaksanakan ‘misi ujian rutin’.
Pasukan tindak balas kecemasan tiba di lokasi kejadian di timur laut Los Angeles sejurus selepas nahas berlaku.
Pangkalan itu menyatakan, pasukan berkaitan sedang berusaha mengesahkan nasib semua individu yang berada dalam pesawat itu, manakala siasatan mengenai nahas berkenaan sedang dijalankan.
Pihak pangkalan sebelum itu mengumumkan penutupan lapangan terbang berkenaan dengan semua pesawat yang menuju ke lapangan terbang itu dilencongkan ke lokasi lain.


