Seorang ahli ekonomi berkata juruteknik boleh memperoleh gaji antara RM4,000 hingga RM5,000 dalam industri tertentu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Usaha Johor menawarkan gaji premium RM4,000 ke atas kepada graduan sukar dicontohi negeri lain, kata seorang ahli ekonomi.
Samirul Ariff Othman dari Universiti Teknologi Petronas berkata banyak negeri masih bergantung kepada industri berintensifkan buruh yang memang mampu mewujudkan peluang pekerjaan, tetapi tidak semestinya menawarkan gaji tinggi.
Malaysia juga berdepan jurang antara kemahiran yang diperlukan majikan dengan kemahiran dimiliki graduan, kata Samirul mengulas gesaan seorang bekas Ahli Parlimen supaya negeri lain mencontohi inisiatif gaji premium Johor.
Awal bulan ini, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata graduan baharu di negeri itu berpotensi memperoleh gaji RM4,000 ke atas, manakala graduan teknikal dan vokasional pula boleh menerima antara RM4,000 hingga RM5,000 atau lebih, bergantung kepada kelayakan dan kemahiran masing-masing.
Samirul berkata, gaji di negeri lain tidak dapat dinaikkan secara mampan melainkan perniagaan menjadi lebih produktif melalui penggunaan teknologi, inovasi dan amalan pengurusan yang lebih baik.
“Sebab itu pembangunan bakat, pembaharuan TVET dan penaiktarafan industri perlu bergerak seiring. Menaikkan gaji tanpa menangani isu produktiviti hanya menyelesaikan sebahagian daripada masalah,” katanya.
Beliau juga berkata, sukar untuk menjadikan kadar gaji permulaan RM4,000 bagi graduan sebagai penanda aras nasional.
Menurutnya, hanya syarikat multinasional besar di negeri seperti Johor, Pulau Pinang atau Selangor mungkin mampu menawarkan gaji permulaan RM4,000.
“Banyak perusahaan kecil dan sederhana di negeri lebih kecil mungkin sukar berbuat demikian tanpa peningkatan produktiviti,” katanya.
Bagaimanapun, Samirul dan Yeah Kim Leng dari Sunway University berkata, negeri lain masih boleh mencontohi pendekatan Johor sekiranya mereka mengenal pasti kelebihan daya saing masing-masing.
Yeah berkata, Pulau Pinang misalnya boleh memberi tumpuan kepada industri elektronik, manakala Sarawak pula boleh memanfaatkan industri yang bergantung kepada tenaga hidro.
Kelebihan tersendiri
Yeah berkata, Johor mempunyai kelebihan tersendiri, termasuk kedudukannya yang berhampiran Singapura serta penglibatan kedua-dua kerajaan dalam menarik pelaburan dan industri bernilai tinggi ke Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.
Beliau menyifatkan inisiatif gaji Johor sebagai sesuatu yang wajar dipuji kerana kerajaan negeri bukan sahaja perlu membangunkan persekitaran perniagaan yang cekap dan mesra pelabur, tetapi juga ekosistem yang mampu menarik industri bernilai tinggi dan syarikat dinamik.
Katanya, syarikat seperti itu berupaya menarik serta membangunkan pekerja berbakat, yang seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan dan kejayaan perniagaan mereka.
Samirul pula berkata graduan TVET boleh memperoleh gaji antara RM4,000 hingga RM5,000 dalam industri tertentu susulan perubahan dalam pasaran buruh.
Beliau berkata, sektor pembuatan moden semakin memerlukan juruteknik yang memiliki kemahiran khusus, dan dalam banyak keadaan, juruteknik mahir semakin sukar dicari berbanding pemegang ijazah.
“Cabarannya ialah memastikan program TVET terus selari dengan keperluan sebenar industri, dan bukan sekadar melahirkan graduan yang kemahirannya tidak lagi relevan,” katanya.


