Pertembungan antara PAS dan Bersatu hanya akan menguntungkan Pakatan Harapan, kata Setiausaha Politik kepada presiden PAS, Syahir Che Sulaiman. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Bersatu diingatkan bahawa PAS berpengalaman dalam perlawanan politik, selepas parti pimpinan Muhyiddin Yassin mengumumkan ia sedia berdepan PAS.
“Sekalipun hendak berlawan, jangan diajak. PAS sudah 75 tahun berlawan. Jika sehaluan, jalan seiringan. Terserah kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan,” kata setiausaha politik kepada presiden PAS, Syahir Che Sulaiman.
Semalam, Muhyiddin mengumumkan Bersatu sedia berdepan PAS yang baru-baru ini memutuskan hubungan dengan mereka, habis-habisan.
Syahir bagaimanapun mengingatkan pertembungan antara mereka hanya akan menguntungkan Pakatan Harapan (PH).
“Menang sorak, kampung tergadai,” katanya, dan menambah akar umbi dan komuniti Melayu mahu perselisihan diurus “jangan sangat ‘kabilah’ bertembung”.
Syahir turut mendakwa bahawa pihak yang mahu menjadi ‘anak tangga’ kepada PH mahukan pertembungan berlaku, “seperti yang pernah diusahakan dahulu”.
“Ketika itu, PAS menghalang. Harapnya tidak berulang,” katanya, tanpa huraian lanjut.
Menjelang PRN Johor dan Negeri Sembilan akan datang, Syahir berkata rundingan kerusi akan berasaskan prinsip penyandang.
“Selebihnya berdasarkan faktor ‘winnability’. Ukur kekuatan jentera, sokongan rakyat, dan penerimaan calon,” katanya.
“Adapun perihal logo dan watikah, keputusan majlis tertinggi (PN); tandatangan pengerusi,” katanya.
Semalam, Muhyiddin mendakwa Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar belum memanggil mesyuarat bagi membincangkan persediaan pilihan raya, mengingatkan pemimpin PAS itu bahawa mesyuarat sedemikian ‘kritikal’.
Muhyiddin turut berkata Bersatu akan bertanding atas lambang PN.

