Adun Kota Kemuning Preakas Sampunathan, berkata reformasi memerlukan masa, komitmen politik berterusan, dan ‘kepimpinan yang berhasrat bawa perubahan’.
SUBANG JAYA: Dakwaaan kononnya Pakatan Harapan (PH) ‘tidak buat apa-apa’ sepanjang menjadi kerajaan didorong kekurangan maklumat, kata Preakas Sampunathan daripada DAP.
Berucap pada majlis makan malam kutipan dana malam ini, Preakas berkata, ramai pengkritik gagal mengiktiraf usaha reformasi kerajaan kerana mereka tidak mendapat maklumat yang betul.
“Ramai bercakap dari sudut negatif. Mereka berkata, ‘Oh, Pakatan Harapan, tidak buat apa-apa’,” katanya. “Tetapi perkara pertama yang perlu anda tanya mereka, adakah mereka membaca akhbar? Adakah mereka membaca sumber maklumat yang betul?” katanya.
Beliau menyeru orang ramai bergantung kepada sumber boleh dipercayai apabila menilai prestasi gabungan itu.
Preakas berkata, kerajaan telah memperkenalkan siri reformasi institusi walaupun sebahagian belum dilaksanakan sepenuhnya.
Antara reformasi yang dipetiknya mengenai cadangan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal dan pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya.
“Tidak ada perdana menteri yang akan kata hanya mahu berkhidmat dua penggal sahaja, iaitu 10 tahun. Tapi, reformasi itu menjadi sebahagian daripada manifesto kita dan kita telah membawanya,” kata Preakas yang juga Adun Kota Kemuning.
Beliau berkata , cadangan had penggal itu tidak dapat diluluskan kerana cadangan tersebut gagal mendapat sokongan mencukupi di Dewan Rakyat.
Preakas berkata, reformasi memerlukan masa, sumber, dan komitmen politik berterusan. “Apa yang kita perlukan adalah kepimpinan yang berhasrat membawa perubahan,” katanya.

