Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz, berkata pengundi kini boleh membezakan antara pengumuman dasar yang tulen dengan ‘gula-gula’ bermotif politik.
PETALING JAYA: Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz mempersoalkan masa pengumuman peruntukan RM216.44 juta oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming bagi pembangunan perumahan dan kesejahteraan komuniti di Johor.
Bekas Adun Puteri Wangsa itu mengkritik amalan kerajaan yang mengagihkan ‘gula-gula pilihan raya’ setiap kali pilihan raya diadakan, sambil menambah pengundi sudah boleh membezakan antara pengumuman dasar yang tulen dengan ‘gula-gula’ bermotif politik.
“Bukannya saya tak suka bila kita nak bangunkan benda ini, beliau kata benda ini dah ada dalam RMK13. Persoalannya, pengumuman macam ini ia akan dibuat bila dah nak tiba PRN?” katanya dalam hantaran Instagram.
“Adakah semua ini gula-gula yang menteri nak tabur untuk Bangsa Johor. Jangan ingat orang kita sekarang ini masih bodoh.”
Amira turut mengkritik Nga kerana membuat pengumuman hampir serupa pada PRK lalu, termasuk di Kuala Kubu Baharu dan Sungai Bakap.
Semalam, Nga berkata pihak kementerian telah memperuntukkan RM216.44 juta kepada Johor di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 bagi merancakkan pembangunan perumahan, kemudahan awam, dan kesejahteraan komuniti.
Bercakap pada majlis di Skudai, Johor, Nga berkata dana tersebut merangkumi projek perumahan mampu milik, penyelenggaraan, kemudahan awam, keselamatan komuniti, pengurusan sisa pepejal, serta pembangunan bandar dan luar bandar.
PRN Johor ditetapkan pada 11 Julai dengan hari penamaan calon 27 Jun, dan pengundian awal 7 Julai.
