Kampung Sungai Rotan banjir susulan hujan lebat berterusan melebihi dua jam, serta saliran parit kecil tersumbat. (Gambar Bernama)
IPOH: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di SK Batu Hampar bagi menempatkan 17 mangsa daripada lapan keluarga, susulan banjir melanda Kampung Sungai Rotan, Trong di daerah Larut, Matang dan Selama.
Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memaklumkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 5.40 petang tadi.
“Pemantauan awal di lokasi mendapati kejadian banjir berpunca daripada hujan lebat yang berterusan melebihi dua jam serta saliran parit kecil tersumbat dan tidak dapat menampung kapasiti aliran air.
“Keadaan air di sekitar Kampung Sungai Rotan dilaporkan masih berarus deras dengan paras ketinggian kira-kira 0.5 meter, namun menunjukkan trend menurun manakala cuaca di kawasan berkenaan dilaporkan mendung pada 6.21 petang tadi dan keadaan semasa masih hujan,” menurut kenyataan.
APM menggerakkan tiga anggota bersama sebuah kenderaan Hilux bagi menjalankan pemantauan serta membantu operasi di kawasan terjejas.
Menurut kenyataan, selepas selesai membuat pemantauan pada 7.37 malam, pasukan berkenaan meneruskan operasi ke SK Batu Hampar untuk memasang serta menghantar khemah (C-Tent) bagi kegunaan mangsa banjir di PPS berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Larut, Matang dan Selama Mohd Nasrul Menhat berkata PPS mula beroperasi pada 8 malam tadi.
“Berikutan kejadian banjir yang berlaku di Kampung Batu 23 dan Kampung Batu 25, Sungai Rotan, Batu Hampar, dimaklumkan bahawa PPS dibuka pada 8 malam,” katanya.


