Dr M Mahadevan menghabiskan enam dekad memperjuangkan maruah, harapan dan pemulihan untuk pesakit mental. (Gambar Charles Thena)
PETALING JAYA: Perkara pertama yang diubah Dr Mahadevan Mahalingam ialah nama sebuah institusi.
Nama Central Mental Hospital di Tanjung Rambutan kedengaran keras, terlalu klinikal dan menjauhkan pesakit daripada masyarakat. Bagi Mahadevan, tempat itu memerlukan nama yang menggambarkan pemulihan, bukan pengasingan.
Maka, beliau menamakannya semula sebagai Hospital Bahagia Ulu Kinta.
‘Bahagia’ membawa maksud gembira.
Pemilihan nama itu dibuat dengan penuh maksud kerana beliau mahu pesakit berasa mereka bukan orang buangan, sebaliknya manusia yang masih mampu membina semula kehidupan.
Nama itu mencerminkan falsafah yang menjadi pegangan beliau sepanjang kerjayanya: rawatan tidak seharusnya berasaskan ubat-ubatan semata-mata, tetapi juga perlu berpaksikan maruah, harapan dan kemanusiaan.
Kini, selepas pemergiannya pada Isnin di Kuala Lumpur pada usia 96 tahun, Malaysia bukan sahaja kehilangan seorang perintis penjagaan kesihatan mental, tetapi juga seorang tokoh yang membantu mengubah cara negara memandang golongan paling rentan dalam masyarakat.
Menunggang kuda ke sekolah
Jauh sebelum beliau dikenali sebagai pakar psikiatri paling terkenal di negara ini, Mahadevan hanyalah seorang pelajar sekolah yang mempunyai minat luar biasa.
Beliau sangat menyukai kuda.
Membesar di Kuala Lumpur dan belajar di St John’s Institution, beliau dikenali sebagai budak lelaki yang menunggang kuda ke sekolah.
Minatnya terhadap aktiviti menunggang kuda sering membimbangkan guru-gurunya, yang khuatir ia akan mengganggu pelajarannya.
Seorang guru Brother pernah menyuruhnya duduk di gereja kecil sekolah dan menulis berulang kali: “jadikan saya seorang doktor”.
Pengajaran itu melekat dalam dirinya.
Bertahun-tahun kemudian, Mahadevan menyatakan guru-gurunya membantu menanam disiplin yang membentuk kehidupannya.
Keazaman sama yang mendorongnya menguasai kemahiran menunggang kuda kemudian membawanya menempuh bidang perubatan dan usaha mengubah pandangan masyarakat terhadap penyakit mental.
Ironinya, bidang perubatan bukan pilihan pertamanya sebenarnya sebaliknya doktor haiwan dan sangat tertarik dengan tingkah lakunya.
Namun, biasiswa yang diterimanya mengubah hala tuju hidupnya. Ia membawanya ke pengajian perubatan dan akhirnya kepada kerjaya yang mengubah landskap penjagaan psikiatri di Malaysia.
Selepas menamatkan pengajian di Bangalore pada 1961, Mahadevan berpindah ke Ireland dan bekerja di bawah Profesor John Dunne di University College Dublin.
Bidang psikiatri dengan cepat menjadi minat utamanya.
Dr M Mahadevan di Vienna pada 1965, tidak lama selepas menjadi pakar psikiatri (kiri) dan beberapa tahun kemudian selepas muncul sebagai antara perintis perubatan paling berpengaruh di Malaysia. (Gambar Charles Thena)
Satu detik penting berlaku pada 1965 apabila beliau menyaksikan kemalangan jalan raya yang mengerikan dan meragut nyawa seorang wanita serta anak perempuannya yang sedang hamil. Suami wanita itu terselamat, tetapi mengalami trauma yang amat berat.
Mahadevan menggunakan hipnosis untuk menenangkan dan menstabilkan lelaki itu.
Pengalaman itu mengukuhkan kepercayaannya bahawa perubatan bukan sekadar merawat kecederaan fizikal. Minda manusia juga perlu diberi perhatian, terutama ketika seseorang berdepan kesedihan, kejutan dan putus asa.
Kes itu mendapat perhatian meluas dan membawa kepada jemputan untuk beliau memberi syarahan di Britain mengenai hipnosis dan pengurusan trauma. Reputasinya yang semakin meningkat membuka peluang untuk beliau melanjutkan latihan dengan beberapa pakar terkemuka dunia.
Seorang dermawan misteri kemudiannya membiayai latihan lanjutnya. Beliau bekerja dengan pakar hipnoterapi terkenal, Herbert Spiegel, di Columbia University, manakala pakar psikiatri Harvard, Chester Pierce, melihat potensinya dan menggalakkan beliau memperluaskan bidang kerjanya.
Apabila Mahadevan akhirnya pulang ke tanah air, beliau membawa pulang bukan sekadar kelayakan akademik, tetapi juga satu wawasan baharu tentang masa depan penjagaan psikiatri.
Mengubah sebuah sistem
Pada 1967, atas jemputan Tunku Abdul Rahman, Mahadevan pulang untuk membantu membangunkan sistem penjagaan kesihatan mental Malaysia.
Ketika itu, penyakit mental masih dikelilingi rasa takut dan stigma dengan ramai pesakit dipisahkan daripada masyarakat selain diberi terlalu sedikit peluang untuk menjalani pemulihan.
Mahadevan percaya pendekatan itu telah gagal.
Sebagai pengarah Central Mental Hospital di Tanjung Rambutan, beliau memperkenalkan idea-idea yang dianggap sangat maju pada zamannya.
Beliau berpendapat pesakit tidak seharusnya hanya dikurung sebaliknya perlu digalakkan untuk pulih, mendapatkan semula keyakinan diri dan kembali kepada masyarakat.
Pembaharuan yang dibawanya tidak terhad kepada hospital sahaja.
Beliau memperjuangkan rumah jagaan angkat, rumah perantaraan dan pusat jagaan harian. Beliau menyokong program yang memberi tumpuan kepada pemulihan dan penyepaduan semula pesakit ke dalam masyarakat, supaya mereka dapat membina kehidupan di luar tembok institusi.
Penukaran nama hospital kepada Hospital Bahagia melambangkan perubahan yang lebih besar itu kerana ia menandakan peralihan daripada rasa takut kepada kefahaman, dan daripada pengasingan kepada pemulihan.
Menjelang akhir 1980-an, Hospital Bahagia menjadi contoh penjagaan psikiatri moden dan mendapat pengiktirafan antarabangsa, termasuk pujian daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
Apabila kuda menjadi terapi
Mahadevan tidak pernah meninggalkan cinta pertamanya.
Jauh sebelum terapi berkuda dikenali ramai, minat mendalam Dr M Mahadevan terhadap kuda membentuk kehidupan sukan dan kerjayanya. (Gambar Charles Thena)
Hubungannya yang mendalam dengan kuda akhirnya mempengaruhi kerja profesionalnya. Beliau mendapati ramai pesakit memberi reaksi positif apabila berinteraksi dengan haiwan, khususnya kuda.
Kesannya sering sangat jelas. Pesakit kelihatan lebih tenang, lebih yakin dan lebih bersedia untuk berhubung dengan orang lain.
Mahadevan melihat pengalaman itu sebagai peluang untuk memperluaskan pemulihan melangkaui rawatan biasa.
Kepercayaannya terhadap terapi menunggang kuda membantu membentuk inisiatif seperti Madhuban Home dan menyumbang kepada perkembangan Riding for the Disabled di Malaysia. Beliau kemudian berkhidmat sebagai pengerusi Malaysian Paralympic Equestrian Committee.
Bagi sesetengah pihak, idea-idea itu mungkin kelihatan luar biasa. Namun bagi Mahadevan, ia hanyalah satu lagi cara untuk membantu manusia menemui semula keyakinan dan tujuan hidup.
Reputasi yang melangkaui sempadan
Pengaruh Mahadevan tidak terhad kepada Malaysia.
Beliau mengasaskan Malaysian Psychiatric Association, berkhidmat sebagai ketua pakar psikiatri kerajaan dan menjadi rakyat Malaysia pertama yang dilantik sebagai presiden cawangan Asia bagi International College of Psychosomatic Medicine.
Harvard kemudian menubuhkan fellowship kembara atas namanya sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya kepada pendidikan dan penyelidikan psikiatri.
Minat dan kerjayanya juga membawanya berhubung dengan pemimpin, ahli akademik dan kerabat diraja.
Antara persahabatan paling rapatnya ialah dengan Dr Mahathir Mohamad, yang terjalin melalui minat bersama terhadap aktiviti menunggang kuda.
Kedua-dua mereka pernah menyertai ekspedisi berkuda bersama, termasuk merentasi Pergunungan Andes di Argentina.
Mahadevan juga menarik perhatian perdana menteri pengasas Singapura, Lee Kuan Yew.
Dalam satu kes bunuh di Johor yang mencetuskan kebimbangan ketegangan kaum boleh merebak ke seberang Tambak, peranan Mahadevan di mahkamah membantu membuktikan bahawa jenayah itu tidak bermotifkan perkauman.
Penjelasan itu meredakan ketegangan pada waktu yang sangat sensitif. Lee kemudian memberitahunya: “Andalah orang yang menyelamatkan Singapura daripada rusuhan.”
Itu antara banyak penghargaan yang diberikan kepada seorang tokoh yang pengaruhnya sering menjangkaui bilik konsultasi.
Tabah menghadapi dugaan
Kehidupan menguji Mahadevan pada usia lanjutnya.
Pada 2009, beliau diserang dengan kejam dalam satu pertikaian berkaitan urusan tanah keluarga. Serangan itu menyebabkan kecederaan serius pada tulang belakangnya dan membuatkannya terpaksa menggunakan kerusi roda.
Bagi seorang yang sepanjang hidupnya dekat dengan kuda dan sukan polo, kehilangan itu amat besar.
Namun, beliau menghadapi dugaan itu seperti mana beliau menghadapi cabaran lain — dengan ketabahan, jenaka dan rasa syukur.
Beliau jarang meratapi nasib malangnya. Sebaliknya, beliau sering bercakap tentang betapa bertuahnya hidupnya.
“Saya sangat diberkati,” katanya suatu ketika dahulu. “Hidup ini indah. Saya tidak menyesal.”
Warisan yang kekal
Ukuran sebenar sumbangan Mahadevan tidak boleh dilihat hanya melalui anugerah, fellowship atau gelaran.
Ia dapat dilihat pada ribuan kehidupan yang disentuh oleh kerjanya dan pada generasi petugas kesihatan yang mendapat inspirasi daripadanya.
Dr M Mahadevan (dua dari kanan) bersama legenda pecut Dr M Jegathesan (duduk) pada majlis makan malam bagi meraikan tokoh olahraga Perak di Ipoh pada 2022.
Beliau membantu membawa Malaysia menjauhi pandangan lama yang melihat penyakit mental melalui rasa takut dan malu. Beliau menggalakkan pendekatan yang lebih berperikemanusiaan, berasaskan kefahaman, pemulihan dan hormat terhadap maruah pesakit.
Tidak ramai doktor meninggalkan institusi sebagai warisan. Lebih sedikit lagi yang meninggalkan cara berfikir baharu. Mahadevan berjaya melakukan kedua-duanya.
Selama hampir enam dekad, beliau mendedikasikan hidupnya untuk membantu manusia mencari jalan keluar daripada kegelapan.
Dengan itu, beliau mengubah cara Malaysia menjaga mereka yang memerlukan.


