Ketua Penerangan PN, Annuar Musa berkata penggunaan logo dan pengagihan kerusi hanya boleh dimuktamadkan oleh majlis tertinggi gabungan itu.
PETALING JAYA: Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) akan memutuskan penggunaan logo serta pengagihan kerusi bagi PRN Johor dan Negeri Sembilan dalam mesyuarat pada Isnin ini, kata ketua penerangannya, Annuar Musa.
Beliau berkata, hanya Pengerusi PN mempunyai kuasa untuk memutuskan dan menandatangani watikah calon yang bertanding menggunakan logo gabungan itu dalam mana-mana pilihan raya, manakala pengagihan kerusi hanya boleh dimuktamadkan oleh majlis tertinggi.
“Tidak sepatutnya belum mesyuarat tetapi sudah tembak sana, tembak sini dan buat pelbagai andaian kononnya mahu larikan bendera dan mahu buang Bersatu,” katanya yang dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata dalam satu program di Kota Bharu.
Annuar turut menolak spekulasi bahawa Bersatu bakal disingkirkan daripada PN dan menegaskan bahawa tiada sebarang usul untuk menyingkirkan parti itu pernah dibangkitkan.
“Macam Tok Guru presiden (Hadi Awang) cakap, Bersatu nak duduk, duduklah dalam PN dan tidak timbul nak buang pun. Asal jangan langgar peraturan.
Kalau dia langgar peraturan, ada pula masalah disiplin, saya rasa tidak perlu Pas ajar sebab Bersatu lebih banyak pengalaman dalam memecat orang,” katanya.
Kemelut dalam PN semakin memuncak selepas PAS memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu.
Walaupun berdepan perpecahan itu, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, menegaskan partinya akan terus kekal dalam PN dan bertanding dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan menggunakan logo gabungan tersebut.
Beliau juga menegaskan bahawa tiada mana-mana parti boleh secara unilateral menyingkirkan Bersatu daripada PN kerana sebarang keputusan mesti dibuat secara konsensus selaras dengan perlembagaan gabungan itu.


